Planning.com.my

20 Tempat-Tempat Menarik di Johor (Updated 2018)

Johor merupakan negeri yang paling banyak penduduk di Malaysia. Ianya juga merupakan negeri yang sedang pesat membangun seiring dengan pengaliran zaman.

Dari tempat-tempat bersejarah ke taman tema dan tempat berekreasi, bumi selatan Malaysia ini dipenuhi dengan tempat-tempat yang menarik untuk diterokai.

Jika anda meneruskan penerokaan anda di Johor ini, pastinya anda akan ketahui bahawa bumi ini bukan sahaja mempunyai pasukan bola sepak yang digeruni, malah terdapat banyak tempat-tempat menarik yang pastinya akan menjadi permata dalam pengembaraan anda.

Budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini juga menjadi salah satu faktor penyumbang kepada keindahan yang tersembunyi dalamnya. Oleh itu, bersedialah untuk menerokai negeri Johor ini dan ukirlah kenangan manis semasa keberadaan anda di sini.

 

Taman Tema dan Rekreasi

1. Dinosaur Alive Water Theme Park

Sumber

Gambaran: Taman tema ini mempunyai watak-watak dinosaur yang menjadi tumpuan utama permainan hiburan di tempat ini. Bagi anak-anak kecil, terdapat beberapa aktiviti gelongsor yang menyeronokkan dan bersesuaian dengan andak-anak anda.

Tema dinosaur lebih dihidupkan lagi dengan adanya animasi karikatur dinosaur yang bergerak secara tiba-tiba.

Malah, replika dinosaur yang besar dan berketinggian 85 kaki juga dibina sebagai tarikan utama bagi kanak-kanak.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (7.00 pagi – 7.00 petang)
Bayaran Masuk: Tetamu hotel: Percuma, Tetamu luar: RM50
Lokasi: Tingkat 7, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru

 

2. Kuso Trick Art Gallery

Sumber

Gambaran: Bagi mereka yang teringin melihat gambar-gambar karikatur kegemaran anda dalam versi tiga dimensi, datanglah ke tempat ini.

Galeri ini sangat sesuai bagi mereka yang suka bergambar kerana di samping mempunyai lukisan tiga dimensi, ianya juga menyediakan peralatan-peralatan prop untuk membantu anda menangkap gambar yang berkualiti baik. Apatah lagi jika anda memuat naiknya  ke laman sosial, pastinya rakan-rakan anda akan cemburu melihat gambar-gambar anda.

Seperti taman tema lain, galeri ini mempunyai beberapa genre lukisan, antaranya terdapat komedi, seram, dan romantik.

Apabila sampai di sini, anda akan diberi sedikit taklimat ringkas oleh staf-staf galeri ini sebelum memulakan pengembaraan anda.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (11.00 pagi – 9.00 malam)
Bayaran Masuk: Dewasa (RM20), Warga Emas (RM15)
Lokasi: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru.

 

3. Angry Bird Activity Park

Sumber

Gambaran: Belum cukup dunia digemparkan dengan demam game Angry Bird, kini Johor juga mengambil inisiatif untuk lebih mengobarkan lagi minat anda terhadap permainan burung-burung tersebut.

Taman tema berdasarkan permainan game Angry Bird telah diwujudkan di Malaysia. Taman tema ini dikhususkan untuk kanak-kanak, namun terdapat juga beberapa tarikan yang sesuai untuk dewasa.

Oleh itu, taman tema ini sangat sesuai bagi percutian seisi keluarga untuk mencari keseronokan.

Pengunjung juga boleh mengalami sendiri kehidupan menjadi watak-watak dalam permainan tersebut.

Anda juga boleh merasa bermain permainan ini di skrin besar sambil menonton filem Angry Bird secara percuma.

Taman tema ini juga menyediakan restoran dan kedai cenderamata bagi mereka yang ingin membeli kenangan di tempat ini.

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pg – 10 ptg
Bayaran Masuk: Warganegara (RM60) | Warga Asing (RM75)
Lokasi: Level 3, Komtar JBCC, Johor Bahru City Centre, Johor Bahru

 

4. Sanrio Hello Kitty Town

Sumber

Gambaran: Taman tema bertemakan karikatur popular Jepun ini kini mendapat sambutan hangat di Malaysia. Ianya merupakan taman tema Hello Kitty yang pertama dibuka selain di negara asalnya, Jepun.

Walaupun taman tema ini lebih cenderung untuk memikat hati perempuan, namun ianya mempunyai tempat yang cantik untuk bergambar.

Tarikan utama tempat ini pastinya ialah Kitty’s House yang telah dihiasi dengan cantik dan rapi.

Terdapat juga studio di mana pengunjung boleh belajar membuat biskut dan barangan kemas bertema Hello Kitty.

Jika anda datang dengan keluarga, pastinya terdapat beberapa permainan yang membolehkan kedua-dua ibu bapa dan anak-anak untuk berinteraksi bersama.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00 pagi – 6.00 ptg)
Harga Tiket: RM85
Lokasi: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor

 

5. Legoland Malaysia Resort 

Sumber

Gambaran: Anda pasti tahu permainan blok Lego yang terkenal itu, bukan? Kini permainan tersebut telah dihidupkan semula dalam bentuk taman tema.

Taman tema lego ini merupakan yang pertama dibina dan dibuka di bumi Asia. Sebaik sahaja pembukaannya pada tahun 2011, taman tema ini mendapat sambutan hangat sama ada daripada pelancong dalam ataupun luar negara.

Lebih 70 permainan ditawarkan untuk anda, pastinya anda tidak akan bosan dengan tempat ini. Dan sekiranya anda tidak cukup masa untuk menghabiskan permainan tersebut dalam masa sehari, anda boleh juga memilih untuk menginap di resort yang disediakan di tempat ini.

Di samping keseronokan bermain, Legoland juga memaparkan monumen-monumen negara dalam bersi lego. Misalnya Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Gerbang Istana Sultan Johor dan macam-macam lagi.

Bagi mereka yang ingin menerokai taman tema ini dengan santai, anda bolehlah menaiki kereta api Lego yang disediakan dan mengembara ke setiap penjuru taman tema ini.

Waktu Operasi: 9 pg -7 ptg
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej anda
Lokasi: Jalan Legoland, Medini, Nusajaya, Johor Bahru

 

Syurga Pencinta Alam

1. Zenxin Organic Park

Rajah 6 Sumber Tourism Johor

Gambaran: Pernahkan anda terfikir untuk berjalan-jalan di ladang yang mempunyai pelbagai jenis buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan yang segar, dan anda hanya perlu memetik mana buah yang anda inginkan?

Taman Zenxin ini membolehkan anda untuk melakukan sedemikian. Buah-buahan yang terdapat di ladang ini boleh dipetik oleh pengunjung.

Selain itu, ladang ini juga menyediakan pelbagai jenis aktiviti yang menarik dan mencuit hati anda. Jika anda seorang yang outdoor, maka anda boleh berbasikal mengelilingi tempat ini. Dan jika anda ingin bersantai, anda bolehlah berjalan kaki sambil menghirup udara yang segar.

Salah satu aktiviti yang pastinya lain dari yang lain ialah aktiviti seni yang memerlukan anda untuk mengetuk bunga di atas kertas sehingga ia meninggalkan kesan dan warna mengikut bunga tersebut.

Terdapat juga kawasan kebun-kebun kecil yang boleh dilawati seperti kebun buah naga, kebun buah mulberi, dan kebun timun.

Dan sekiranya anda penat berjalan, anda bolehlah berehat di ladang ternakan arnab dan bermain dengan arnab tersebut.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.30 pagi – 6.30 petang)
Bayaran Masuk: Dewasa (RM15) , Kanak-kanak (RM12)
Lokasi: No.8, Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, Kluang

 

2. Tanjung Piai

 Rajah 7 Sumber tripadvisor.co.uk

Gambaran: Jika anda melawat ke tempat ini, pastinya anda tidak akan terlepas melihat mercu setinggi 20 meter ini. Ianya didirikan di sini sebagai tanda bahawa tempat ini merupakan tanah paling selatan bagi benua Asia.

Mercu tanda ini berwarna kelabu untuk melambangkan hutan paya bakau yang terdapat di Tanjung Piai.

Oleh kerana wujudnya paya bakau, maka tempat ini menjadi kawasan hangat penghijrahan pelbagai jenis burung-burung. Juga ianya menjadi habitat tempat tinggal bagi beberapa hidupan liar dan hidupan akuatik.

Kedudukannya yang strategik di hujung benua menjadikannya tempat yang sangat strategik untuk memancing. Oleh itu, ramai kaki pancing yang telah datang ke tempat ini untuk mencuba nasib mereka.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00 pagi – 5.00 petang)
Bayaran Masuk: Dewasa: RM5, Warga Emas: RM3, Pelajar: RM3, Kanak-kanak: Percuma
Lokasi: Tanjung Piai, Pontian

 

3. Air Terjun Kota Tinggi

Rajah 8 Sumber Orang Johor

Gambaran: Air Terjun Kota Tinggi sangat terkenal dengan keseronokannya. Air terjun ini dipelihara dan dipulihara agar kawasannya sentiasa bersih dan tidak dicemari.

Air terjun ini juga merupakan kawasan yang sesuai untuk seisi keluarga bersantai dan menikmati kesegaran alam semula jadi.

Ianya terdapat gelongsor air, dan air di kawasan ini juga mempunyai kedalaman yang berbeza dari cetek hingga dalam.

Hujung minggu dan waktu cuti sekolah merupakan masa-masa hangat kawasan ini akan dipenuhi dengan pengunjung-pengunjung. Jika anda ingin bermalam di tempat ini, anda boleh juga menginap di resort yang berhampiran.

Kemudahan seperti menyewa pelampung dengan harga yang berpatutan juga disediakan untuk pengunjung-pengunjung yang berminat.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad
Bayaran Masuk: Warganegara: Dewasa(RM7.50), Kanak-kanak (RM3.50)
Bukan Warganegara: Dewasa(RM10.00), Kanak-kanak(RM5.00)
Lokasi: Air Terjun Kota Tinggi, Kota Tinggi

 

4. Desaru Fruit Farm

Rajah 9 Sumber pelanconganmalaysia.com

Gambaran: Ladang ini menyajikan anda dengan kepelbagaian buah-buah tropika yang tersebar luas dalam kawasan 100 ekar.

Tempat ini menawarkan anda untuk lebih menikmati dan mengenal buah-buahan tempatan yang segar.

Malah, terdapat juga zoo mini yang dibina berserta dengan kolam ikan koi dan beberapa tarikan-tarikan kecil yang lain.

Jikalau anda berminat untuk memetik buah, anda bolehlah meminta bantuan dari staf yang terdekat untuk mendapatkan pertolongan.

Antara buah yang paling digemari pengunjung apabila melawat tempat ini ialah durian, durian belanda, jambu madu, jambu batu, dan limau madu. Jika anda ingin merasakan sendiri kesegaran buah-buahan tempatan, maka anda perlu melawat tempat ini jika anda berkunjung ke Johor.

Waktu Operasi: 9 pg – 6.30 ptg
Harga Tiket: RM10
Lokasi: no. 92, 82200 Kota Tinggi, Johor

  

5. UK Farm Agro Resort

 Sumber

Gambaran: Tempat ini pada asalnya merupakan tempat peranginan namun dikembangkan menjadi salah satu ladang ternakan kambing yang terbesar di Malaysia. Dengan kawasan yang berkeluasan melebihi 100 ekar, ladang ini mampu menternak lebih dari 4000 ekor kambing dan biri-biri. Malah, tempat ini juga dimeriahkan dengan kehadiran haiwan-haiwan lain seperti rusa dan burung unta.

Jika anda melawat tempat ini, anda tidak perlulah risau kerana ianya menyediakan pelbagai kemudahan bagi anda seperti chalet, asrama, tempat makan, mahupun bilik persidangan.

Jika anda mencari atas talian mengenai tempat ini, pastinya anda akan menemui pelbagai pakej-pakej yang cukup baik. Oleh itu, harga untuk masuk ke tempat ini selalunya bergantung kepada pakej pilihan anda.

Bagi mereka yang menginginkan suasana perkampungan, resort ini telah menjalinkan hubungan dengan penduduk tempatan untuk menjalankan Projek Felda Ayer Hitam Homestay.

Projek ini bertujuan untuk merumahkan pengunjung di rumah penduduk tempatan sebagai rumah tumpangan untuk membina suasana perkampungan yang diingini.

Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pg – 5 ptg
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej anda
Lokasi: Plot 8, Project Pertanian Moden Kluang, Jalan Batu Pahat, Kluang

 

6. Zoo Johor

 Rajah 11 Sumber TripAdvisor

Gambaran: Zoo di negeri ini terletak di tengah pusat bandar raya Johor Bahru. Ianya dibuka pada tahun 1928 dan merupakan salah satu zoo tertua di Malaysia. Zoo ini menempatkan lebih dari 100 jenis haiwan dan menyediakan pelbagai jenis aktiviti untuk pengunjung yang melawatnya.

Zoo ini juga menjadi pusat pembiakan bagi haiwan-haiwan eksotik dan terancam bagi mengelakkan haiwan-haiwan tersebut daripada pupus.

Tempat ini juga mempunyai beberapa pertunjukan haiwan dan sesi berinteraksi dengan beberapa ekor haiwan pilihan.

Kemudahan seperti tandas awam, bilik persalinan, kedai makan, dan pondok rehat juga disediakan secukupnya di seluruh zoo ini bagi memastikan keselesaan pengunjung terjaga.

Oleh itu, zoo Johor ini merupakan tempat ideal bagi percutian seisi keluarga apatah lagi untuk mengeratkan hubungan sesama.

Lokasi: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari, 8 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM2, Kanak-kanak: RM1

 

 7. Ladang Unta

Rajah 12 Sumber Utusan Online

Gambaran: Bagi mereka yang selalu ingin mengetahui mengenai burung gergasi ini, anda bolehlah datang melawat ke ladang burung unta ini.

Tempat yang terletak di Teluk Ramunia ini telah menempatkan lebih dari 100 ekor burung unta, juga membantu burung tersebut membiak.

Penjaga burung unta di sini akan menjadi pemandu pelancong anda sekaligus membantu anda merasakan sepenuhnya pengalaman berada di tempat ini.

Anda juga boleh menunggang burung gergasi ini tetapi dengan bayaran tambahan. Walaupun tidak mempunyai pengalaman, anda tetap boleh menaikinya kerana penjaga burung akan bersama anda setiap masa untuk menjaga keselamatan anda.

Lokasi: EMR 15 Teluk Ramunia, Kota Tinggi
Waktu Operasi: 10 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM12, Kanak-kanak: RM8

 

8. Taman Buaya Teluk Sengat

 Rajah 13 Sumber Uncle Zuan

Gambaran: Bak kata pepatah Melayu, jangan disangka air tenang tiada buaya, kerana taman buaya ini mempunyai lebih dari 1000 ekor buaya.

Jika anda melawat taman ini, pastinya anda akan kagum dengan pelbagai jenis buaya malahan terdapat juga buaya yang berusia melebihi 100 tahun.

Anda tidak perlu risau, kerana tempat ini dijaga rapi oleh penjaga buaya yang profesional. Apabila melakukan persembahan, pastinya anda dapat melihat penjaga-penjaga buaya ini beraksi dengan buaya- buaya.

Anda juga boleh mencuba untuk memberi makanan kepada buaya-buaya yang berada dalam sangkar.

Ataupun jika anda ingin lagi merasakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, anda boleh juga cuba untuk memegang sendiri dan mendukung anak buaya yang tidak merbahaya. Disini anda boleh menangkap gambar untuk di simpan sebagai kenangan.

Lokasi: Lot 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi
Waktu Operasi: 9 pg – 6 ptg
Harga Tiket: Dewasa: RM8, Kanak-kanak: RM4

 

Tempat Bersejarah, Mercu Tanda, dan Muzium

1. Istana Bukit Serene

Rajah 14 Sumber Flickr

Gambaran: Istana ini bukanlah terbuka kepada umum, kerana ianya merupakan istana diraja dan kediaman rasmi  bagi Sultan Johor. Baginda telah diami tempat tersebut semenjak tahun 1998 lagi.

Istana yang terletak di atas Bukit Serene ini boleh dilihat dari Danga Bay. Dan ianya dilindungi oleh Angkatan Tentera Johor.

Namun begitu, oleh kerana landskap istana yang begitu menakjubkan dan indah, ramai pengunjung yang singgah ke tempat ini untuk bergambar dan menyaksikan sendiri pemandangan istana yang berdiri dengan agungnya.

Waktu Operasi: Tertutup kepada Awam
Bayaran Masuk: Tidak Berkenaan
Lokasi: Jalan Straits View, Bukit Serene, Johor Bahru

 

 2. Muzium Nanas Johor

Rajah 15 Sumber Majlis Daerah Pontian

Gambaran:  Muzium nanas ini terletak di pekan kecil yang bergelar Pekan Nanas. Seperti namanya pastinya anda tahu bahawa tarikan utama muzium ini adalah buah nanas. Mungkin anda tertanya-tanya, apakah yang boleh dipamerkan oleh nanas?

Untuk pengetahuan anda tempat ini mempamerkan pelbagai informasi menarik mengenai buah bermahkota ini. Antara informasi tersebut ialah jenis-jenis nanas, aktiviti penanamannya, pemprosesan produk nenas, dan jenis-jenis baka nanas yang ditanam.

Malah, jika anda penggemar nenas, anda juga boleh membeli produk produk berasaskan nenas yang dijual di tempat ini.

Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pg – 5 ptg
Bayaran Masuk: RM2
Lokasi: Batu 32, Jalan Johor Pontian, Pontian

 

3. Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru

 Sumber

Gambaran: Bangunan ini mempunyai seni bina yang menggabungkan seni bina kesutanan Johor, kolonial, dan pengaruh Islam. Ianya siap dibangunkan pada tahun 1940 dan bertujuan sebagai pusat pemerintahan Johor.

Namun begitu, bangunan ini kini telah dijadikan sebagai salah satu tempat pelancongan yang terkenal di Johor Bahru.

Jika dilihat secara terperinci, seni bina bangunan ini mempunyai sentuhan kolonial pada luarannya, namun dalamannya mengikut gaya Melayu Johor. Ukiran-ukiran dalam bangunan ini pula mempunyai pengaruh seni bina Islam.

Mengikut sejarah juga, ketika Perang Dunia Kedua tercetus, bangunan ini menjadi benteng pertahanan pada ketika itu.

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (9.00 pagi – 5.00 petang)
Bayaran Masuk: Percuma
Lokasi: Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru.

 

4. Muzium Warisan Tiong Hua, Johor Bahru

Sumber

Gambaran: Muzium ini telah dibina oleh Persekutuan Tiong Hua dengan tujuan untuk mempamerkan perkembangan masyarakat Cina di negeri Johor ini.

Ianya dibuka pada awal tahun 2009 dan mengandungi lebih dari 1 000 dokumen- dokumen penting dan bersejarah. Bukan itu sahaja, tetapi bangunan ini juga menempatkan lebih dari 300 barangan antik koleksi lama masyarakat ini.

Jika anda mempunyai minat untuk mengetahui lebih lanjut akan sejarah kaum Cina, maka datanglah ke muzium ini untuk melihat pameran mengenai sejarah kedatangan, seni muzik dan budaya masyarakat Tiong Hua dari dulu hingga kini.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00 pagi – 5.00 petang)
Bayaran Masuk: Dewasa: RM3, Senior, pelajar, kanak-kanak: RM1
Lokasi: No 42, Jalan Ibrahim, Johor Bahru

 

 5. Muzium Kota Tinggi

 Rajah 18 Sumber Tourism Malaysia

Gambaran: Pernahkah anda tertanya-tanya tentang Kesultanan Johor Lama yang selalu diceritakan dalam buku sejarah anda?

Jejaklah langkah anda ke muzium dua tingkat ini kerana di sinilah anda dapat menyaksikan kronologi pemerintahan Johor Lama dari titik permulaan takhta sehinggalah sekarang ini.

Muzium ini menyajikan anda dengan empat fasa peristiwa yang memainkan peranan dalam pembentukan Johor.

Di samping itu, terdapat juga pameran bagi artifak-artifak bersejarah seperti peninggalan tembikar lama, senjata dan peralatan muzik yang digunakan pada zaman lampau.

Anda juga dapat menghayati kisah hidupan seharian rakyat Johor pada masa lalu dengan melihat lukisan kanvas yang terbentang dalam muzium ini.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00 pagi – 4.00 petang)
Bayaran Masuk: Percuma
Lokasi: JKR 1858 (P), Jalan Laksamana, Kota Tinggi

 

6. Ayer Hitam Batu Pahat

 Rajah 19 Sumber jjfm1053.blogspot.co.uk

Gambaran: Jauh mahupun dekat, apabila melawat negeri Johor, pasti tidak akan lupa untuk melawat tempat ini.

Tempat ini terkenal dengan kudapan seperti dodol, asam dan pelbagai lagi makanan tradisional yang lain.

Bagi mereka juga penggemar kerepek, janganlah lepaskan peluang untuk singgah ke gerai Wak Man kerana pasti anda akan terliur merasakannya.

https://www.youtube.com/watch?v=tOaS_Bt9ey8

Waktu Operasi: Terbuka
Bayaran Masuk: Percuma
Lokasi: Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor

7. Masjid Sultan Abu Bakar

Rajah 20 Sumber Saya Orang Johor

Gambaran: Dirasmikan sekitar tahun 1900 oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, ianya telah menjadi masjid negeri Johor.

Jika dilihat struktur seni binanya, pasti anda tertanya-tanya rekaan apakah ini.

Masjid ini, merupakan masjid yang mempunyai seni bina Islam Barat dengan empat buah menara di setiap sisi masjid.

Ianya cukup besar untuk menampung 3000 umat Islam dalam satu masa. Sudilah datang ke masjid ini untuk melihat seni bina seratus tahun lalu.

Waktu Operasi: Terbuka
Bayaran Masuk: Percuma
Lokasi: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru

 

Tempat Manarik yang mana satu akan anda pilih?

Phewww… Post yang panjang.

Harap maaf kalau ada mana mana tempat menarik yang tertinggal dalam post ini.

Sebarkanlah post ini untuk kawan kawan anda. 🙂

Exit mobile version