Planning.com.my

Hari Raya Aidifitri 2018 Malaysia: Panduan Komprehensif

Hari Raya Aidilfitri ialah perayaan keagamaan yang disambut setiap orang Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, ia disambut oleh orang-orang Melayu yang hampir keseluruhannya beragama Islam.

Sambutan Aidilfitri jatuh pada 1 Syawal setiap tahun menurut kalendar Hijrah. Kalendar ini berasaskan peredaran bulan dan digunakan oleh semua orang Islam, terutama untuk penentuan tarikh ibadat dan mengingati peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Pada hari terakhir puasa, sekumpulan ahli kaji bintang akan melihat anak bulan Syawal untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Kenapa Orang Islam Menyambut Hari Raya Aidilfitri?

Sebelum menyambut Aidilfitri, orang Islam menjalani ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadan, yang juga dijalani mengikut kalendar Hijrah. Pada bulan Ramadan:

[sekumpulan pemuda menyediakan makanan untuk orang berpuasa di masjid]

Tujuan Hari Raya Aidilfitri disambut adalah untuk meraikan kemenangan atau kejayaan orang Islam mengharungi semua cabaran semasa bulan Ramadan ini.

Balik Kampung

Menjelang Hari Raya Aidilfitri, sudah menjadi adat kebiasaan orang Islam di Malaysia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Selalunya, mereka yang bekerja di ibu kota atau mempunyai anak-anak yang masih bersekolah akan mengambil cuti beberapa hari lebih awal sebelum hari raya. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas yang kerap berlaku ketika musim perayaan.

Pada waktu ini, jalan raya seluruh negara menjadi sesak dengan kenderaan, manakala ibu kota dan bandaraya menjadi lengang kerana kebanyakan penduduk bandar mula bercuti.

Budaya balik kampung ialah sesuatu yang penting bagi orang Melayu Islam di Malaysia, kerana ia memberi peluang kepada anak-anak yang tinggal berjauhan melawat ibu bapa yang kian berusia.

Selain itu, mereka yang telah berhijrah dari kampung halaman dapat pulang mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga dan sanak-saudara yang telah lama tidak ditemui. Hubungan kekeluargaan adalah satu keutamaan dalam kehidupan orang Melayu-Islam.

Persiapan Hari Raya Aidilfitri menurut agama Islam

Orang Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Pelbagai persiapan dibuat oleh orang Islam menjelang sambutannya.

Ada persiapan yang dibuat atas suruhan agama, namun ada juga yang dibuat kerana ia sudah menjadi adat dan budaya.

  1. Antara perkara yang digalakkan oleh agama Islam ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah mendirikan sembahyang sunat tasbih pada malam hari raya, memperbanyakkan takbir dan zikir (mengingati Tuhan) dan membaca al-Quran.
  2. Imam Shafi’i, seorang Imam Mazhab yang terkenal dalam agama Islam turut menggalakkan orang Islam supaya memperbanyakkan doa pada malam Hari Raya Aidilfitri, kerana ia termasuk antara malam yang digalakkan untuk berdoa.
  3. Orang Islam juga disuruh menyediakan sepasang pakaian baharu untuk dipakai pada pagi perayaan dan memakai wangi-wangian. Galakan ini menghidupkan suasana perayaan. Ramai orang keluar membeli-belah sebagai persediaan sejak Ramadan lagi, terutama beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
  4. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, orang Islam digalakkan supaya mandi sunat hari raya sebelum ke masjid untuk menunaikan sembahyang hari raya.
  5. Sebelum keluar menunaikan sembahyang, orang Islam digalakkan untuk bersarapan terlebih dahulu.
  6. Sebaik-baiknya orang ramai perlu berada lebih awal di masjid daripada Imam yang akan memimpin sembahyang hari raya.
  7. Orang Islam yang tidak dapat menunaikan sembahyang atas sebab yang dibenarkan agama juga digalakkan untuk keluar bersama-sama ke tempat di mana sembahyang hari raya diadakan.
  8. Apabila bertemu dengan jiran dan orang ramai yang keluar untuk bersembahyang di masjid, orang Islam diajar untuk saling mengucapkan tahniah, menunjukkan wajah gembira dan bersalam-salaman sesama sendiri.
  9. Jalan yang dilalui untuk pulang daripada masjid lebih baik lagi kalau berbeza daripada jalan yang dilalui untuk menuju ke masjid.

Rumah Terbuka dan Juadah Istimewa

Selepas sembahyang sunat hari raya di masjid, orang Islam akan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga. Pada saat ini, satu lagi budaya menarik semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia akan dipraktikkan, iaitu acara rumah terbuka.

Apabila sesebuah keluarga mengadakan rumah terbuka, sesiapa sahaja yang mengenali tuan rumah dibenarkan hadir untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran bersama-sama.

Rumah terbuka sering dibuat sepanjang bulan Syawal, terutama dalam kalangan para pembesar negara serta orang-orang terkenal. Ia menjadi saluran untuk meraikan sokongan orang ramai dan juga peminat yang setia mengikuti perkembangan mereka sepanjang tahun.

Rumah terbuka dalam kalangan orang biasa pula lebih bertumpu kepada meraikan rakan sekerja, jiran tetangga dan sanak-saudara.

Suasana rumah terbuka di bandar-bandar lebih meriah kerana pelbagai etnik turut meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan mengunjungi jiran yang beragama Islam.

Rumah terbuka diserikan dengan juadah atau hidangan istimewa yang disediakan untuk meraikan para tetamu.

Juadah Hari Raya Aidilfitri boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu juadah tradisional dan juadah moden.

Bagi peminat makanan tradisional, banyak juadah yang sinonim dengan Aidilfitri boleh ditemui semasa berkunjung ke rumah-rumah terbuka. Beberapa jenis juadah yang popular adalah lemang, ketupat, rendang, sate, kuah kacang dan nasi himpit.

Pelbagai juadah moden lain menjadi peneman juadah tradisional. Kita boleh dapati bermacam jenis kek, biskut dan kuih-muih yang sedap belaka.

Juadah tradisional selalu mendapat tempat dalam kalangan orang dewasa dan yang lebih berusia, manakala juadah moden sangat digemari oleh remaja dan kanak-kanak.

Marhaban Beramai-ramai

Marhaban ialah dendangan syair yang memuji-muji Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. Ia selalu dilagukan oleh orang Melayu-Islam dalam majlis keagamaan termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.

Kumpulan khas marhaban di sesebuah kawasan perumahan atau perkampungan akan berziarah dari rumah ke rumah untuk mendendangkan syair ini secara beramai-ramai.

Acara marhaban ini mampu mengeratkan silaturahim antara jiran tetangga juga penduduk setempat kerana mereka saling berkunjung dan kenal mengenal.

Pelita Malam Tujuh Likur atau Pelita Raya

Beberapa perkampungan di Malaysia contohnya di daerah Klang, masih lagi berpegang kepada amalan memasang pelita pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Malam ini dikenali sebagai Malam Tujuh Likur.

Pelita buluh atau pelita tin dipasang di sekeliling pagar rumah, mewujudkan suasana bercahaya yang indah dan meriah.

Kementerian Pelancongan Malaysia mengiktiraf budaya ini sebagai sebahagian keistimewaan negara sehingga pernah mengadakan acara khusus Malam Likur diDataran Merdeka pada tahun 2015. Pada acara ini sebanyak 1,000 buah pelita dipasang di Dataran Merdeka dari 11 hingga 17 Julai sebagai tarikan kepada pelancong serta memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Ziarah Tanah Perkuburan

Pada pagi Hari Raya Aidilfitri juga, ada sesetengah orang Islam di Malaysia menziarah tanah perkuburan untuk memperingati ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Semasa menziarah kubur ahli keluarga, mereka akan menyedekahkan bacaan al-Quran dan doa-doa.

Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai boleh atau tidak menziarah kubur, namun begitu amalan ini dipegang teguh oleh sebahagian orang Islam di Malaysia.

Permainan Bunga Api dan Mercun

Pada musim Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, kanak-kanak mahupun remaja suka bermain bunga api dan mercun. Kadangkala seawal pertama Ramadan, sudah kelihatan percikan bunga api atau kedengaran dentuman mercun di mana-mana.

Meskipun banyak permainan bunga api diharamkan atas sebab keselamatan, namun masih ramai lagi yang tidak takut dengan undang-undang dan akibat buruk yang mungkin terjadi.

Hakikatnya, hanya beberapa jenis bunga api dan mercun sahaja yang dibenarkan undang-undang sekarang, antaranya Pop Pop dan Happy Boom.

Kesimpulan

Pendek kata, perayaan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sangat meriah dan berwarna-warni. Banyak nilai murni yang boleh diterapkan melalui berpuasa pada bulan Ramadan sehingga sambutan Syawal berakhir.

Baca selanjutnya:

 

 

 

Exit mobile version